Jumpa kembali. Izinkan saya menyambung kaitan antara nilai dan harga seperti yang saya janjikan. Biarlah manusia itu berpegang pada janji, bukan pada hidungnya, jika tidak mahu disama-nilaikan dengan seekor kerbau. :)

Sebelum itu biarlah saya berkongsi pengalaman dengan seorang kawan ketika kami menjamu selera di Ampang. Datang seorang kanak-kanak memohon simpati, dan diberikan seringgit oleh kawan. Lantas teringat saya pada nilai dan harga. Duit seringgit itu mungkin sedikit nilainya bagi kami yang sedang menjamu selera, tetapi mungkin amat besar nilainya pada kanak-kanak itu buat penyambung rezeki. Tetapi harganya tetap seringgit pada kami atau pun pada kanak-kanak itu.
Kembali kepada contoh-contoh pada siri terdahulu.
Contoh 1: Harga seorang pelacur ialah RM300 semalam.
Untuk pertukaran nikmat semalam, harga seorang pelacur itu ialah RM300. Tetapi dirinya hampir tiada nilai. Kalau adapun sangatlah kurang nilainya jika dibandingkan dengan seorang isteri yang menjaga kehormatan hanya untuk suami tercinta. Sangatlah kurang nilainya juga dibandingkan dengan seorang isteri yang melayan, dan menjaga keluarga demi kesejahteraan hidup didunia fana. Sangatlah kurang nilainya juga jika dibandingkan dengan seorang isteri yang melakukan hubungannya atas dasar kesinambungan zuriat lantas kesinambungan untuk penyebaran dan penegak syiar agama. Sangatlah kurang nilainya…
Contoh 2: Harga di panggung wayang ialah RM8 bagi sebuah filem.
Untuk pertukaran pengalaman sebuah cerita, harganya ialah RM8. Tetapi nilainya berbeza-beza bagi penonton yang berbeza. Filem itu hanyalah penghabis RM8 dan bernilai untuk suka-suka bagi mereka yang melihat untuk keseronokan semata-mata. Jalan cerita yang menghiburkan menjadi nilai penghibur kepada sesetengah penonton, tetapi tidak lebih dari itu. Namun, ada yang menilai pengajaran dan maksud yang hendak disampaikan oleh pengarah filem tersebut, maka sudah pasti nilainya lain dengan mereka yang menonton untuk suka-suka. Malah, amatlah tidak ternilai bagi mereka yang melihat dan terlihat apa yang tersirat disebalik sesebuah cerita, jika dapat mentahkik persoalan-persoalan rahsia kehidupan yang membawa kepada yang Maha Satu. Sangatlah berlainan nilainya..
Contoh 3: Harga sebuah basikal ialah RM50.
Untuk pertukaran pemilik dalam urusan jual-beli, harga bagi sebuah basikal ini ialah RM50. Basikal itu mungkin kecil nilainya pada seorang jutawan yang ingin merasa berbasikal ke pasar, pengganti A170 Avantgarde sekali-sekala. Tetapi amat besar nilainya untuk seorang peniaga sayur yang memerlukan basikal buat mengangkut sayur-sayuran ke pasar, penyambung rezeki untuk kehidupan. Basikal itu jua digunakan untuk ke kebun seharian, menghantar anak-anak kecil ke sekolah, dan sekali-sekala meredah denai ke pekan membeli keperluan. Amatlah besar nilainya..
Kerana itu, contohnya, di kedai-kedai antik, barang-barang lama yang berharga dipamerkan untuk jualan, tetapi barang-barang yang tak ternilai disimpan untuk koleksi persendirian. Lantas, apabila ditawarkan harga untuk barang yang tak ternilai, amat sukar untuk mencapai keputusan, kerana harga sudah pasti tak dapat disamakan dengan nilai.
Jadi untuk seorang manusia, dalam konteks yang sama, harganya mungkin sama, tetapi nilainya berbeza. Contohnya, seorang jurutera muda harganya lebih kurang sama dengan seorang jurutera muda yang lain, tetapi mungkin mempunyai nilai-nilai peribadi yang berlainan. Seorang pengurus pula mungkin diletakkan harga yang sangat tinggi berbanding dengan seorang makcik pembuat kopi, tetapi belum tentu lagi nilai-nilai peribadinya lebih tinggi daripada seorang pembuat kopi.
Menjadi tanggungjawab diri sendiri untuk meletakkan nilai pada harga diri. Bak permata yang amat bernilai, jika disaluti lumpur yang kotor menjadi hampir tiada nilai melainkan nilai lumpur. Jika diambil, dibersihkan dan digilap, maka nilai permata itu menjadi sangat tinggi berbanding lumpur-lumpur kotor. Daya usaha sendiri beserta dengan panduan amat diperlukan untuk "menggilap" permata di dalam diri.
Maka alam ini sudah tentu tidak ternilai bagi mereka yang ingin menilai dan tahu untuk menilai. Bukankah alam ini diciptakan untuk mereka yang ingin berfikir dan mencari kebesaranNya dan keesaanNya. (Bukan berfikir untuk mencari kesalahan yang lain sahaja).
Terpulanglah untuk kita meletakkan nilai di dalam sesuatu perkara. Pada pandangan saya, harga itu kurang pentingnya berbanding nilai yang tersembunyi disebalik muslihat harga tersebut.
No comments:
Post a Comment