Tuesday, 13 March 2007

Nilai dan Harga II

Jumpa kembali. Izinkan saya menyambung kaitan antara nilai dan harga seperti yang saya janjikan. Biarlah manusia itu berpegang pada janji, bukan pada hidungnya, jika tidak mahu disama-nilaikan dengan seekor kerbau. :)


Sebelum itu biarlah saya berkongsi pengalaman dengan seorang kawan ketika kami menjamu selera di Ampang. Datang seorang kanak-kanak memohon simpati, dan diberikan seringgit oleh kawan. Lantas teringat saya pada nilai dan harga. Duit seringgit itu mungkin sedikit nilainya bagi kami yang sedang menjamu selera, tetapi mungkin amat besar nilainya pada kanak-kanak itu buat penyambung rezeki. Tetapi harganya tetap seringgit pada kami atau pun pada kanak-kanak itu.

Kembali kepada contoh-contoh pada siri terdahulu.

Contoh 1: Harga seorang pelacur ialah RM300 semalam.

Untuk pertukaran nikmat semalam, harga seorang pelacur itu ialah RM300. Tetapi dirinya hampir tiada nilai. Kalau adapun sangatlah kurang nilainya jika dibandingkan dengan seorang isteri yang menjaga kehormatan hanya untuk suami tercinta. Sangatlah kurang nilainya juga dibandingkan dengan seorang isteri yang melayan, dan menjaga keluarga demi kesejahteraan hidup didunia fana. Sangatlah kurang nilainya juga jika dibandingkan dengan seorang isteri yang melakukan hubungannya atas dasar kesinambungan zuriat lantas kesinambungan untuk penyebaran dan penegak syiar agama. Sangatlah kurang nilainya…

Contoh 2: Harga di panggung wayang ialah RM8 bagi sebuah filem.

Untuk pertukaran pengalaman sebuah cerita, harganya ialah RM8. Tetapi nilainya berbeza-beza bagi penonton yang berbeza. Filem itu hanyalah penghabis RM8 dan bernilai untuk suka-suka bagi mereka yang melihat untuk keseronokan semata-mata. Jalan cerita yang menghiburkan menjadi nilai penghibur kepada sesetengah penonton, tetapi tidak lebih dari itu. Namun, ada yang menilai pengajaran dan maksud yang hendak disampaikan oleh pengarah filem tersebut, maka sudah pasti nilainya lain dengan mereka yang menonton untuk suka-suka. Malah, amatlah tidak ternilai bagi mereka yang melihat dan terlihat apa yang tersirat disebalik sesebuah cerita, jika dapat mentahkik persoalan-persoalan rahsia kehidupan yang membawa kepada yang Maha Satu. Sangatlah berlainan nilainya..

Contoh 3: Harga sebuah basikal ialah RM50.

Untuk pertukaran pemilik dalam urusan jual-beli, harga bagi sebuah basikal ini ialah RM50. Basikal itu mungkin kecil nilainya pada seorang jutawan yang ingin merasa berbasikal ke pasar, pengganti A170 Avantgarde sekali-sekala. Tetapi amat besar nilainya untuk seorang peniaga sayur yang memerlukan basikal buat mengangkut sayur-sayuran ke pasar, penyambung rezeki untuk kehidupan. Basikal itu jua digunakan untuk ke kebun seharian, menghantar anak-anak kecil ke sekolah, dan sekali-sekala meredah denai ke pekan membeli keperluan. Amatlah besar nilainya..

Kerana itu, contohnya, di kedai-kedai antik, barang-barang lama yang berharga dipamerkan untuk jualan, tetapi barang-barang yang tak ternilai disimpan untuk koleksi persendirian. Lantas, apabila ditawarkan harga untuk barang yang tak ternilai, amat sukar untuk mencapai keputusan, kerana harga sudah pasti tak dapat disamakan dengan nilai.

Jadi untuk seorang manusia, dalam konteks yang sama, harganya mungkin sama, tetapi nilainya berbeza. Contohnya, seorang jurutera muda harganya lebih kurang sama dengan seorang jurutera muda yang lain, tetapi mungkin mempunyai nilai-nilai peribadi yang berlainan. Seorang pengurus pula mungkin diletakkan harga yang sangat tinggi berbanding dengan seorang makcik pembuat kopi, tetapi belum tentu lagi nilai-nilai peribadinya lebih tinggi daripada seorang pembuat kopi.

Menjadi tanggungjawab diri sendiri untuk meletakkan nilai pada harga diri. Bak permata yang amat bernilai, jika disaluti lumpur yang kotor menjadi hampir tiada nilai melainkan nilai lumpur. Jika diambil, dibersihkan dan digilap, maka nilai permata itu menjadi sangat tinggi berbanding lumpur-lumpur kotor. Daya usaha sendiri beserta dengan panduan amat diperlukan untuk "menggilap" permata di dalam diri.

Maka alam ini sudah tentu tidak ternilai bagi mereka yang ingin menilai dan tahu untuk menilai. Bukankah alam ini diciptakan untuk mereka yang ingin berfikir dan mencari kebesaranNya dan keesaanNya. (Bukan berfikir untuk mencari kesalahan yang lain sahaja).

Terpulanglah untuk kita meletakkan nilai di dalam sesuatu perkara. Pada pandangan saya, harga itu kurang pentingnya berbanding nilai yang tersembunyi disebalik muslihat harga tersebut.

Nilai dan Harga I

Hari2 ana pergi kerja naik motor, menikmati asap2 kenderaan lain dan habuk2 kotaraya. Kadang2 ana tukar angin, sedut aircond kereta pulak. Bila cakap tentang kenderaan, tak lari dari minyak. Bila cakap tentang minyak, yang terhangat di pasaran ialah tentang harga. Ana teringat kata2 tentang nilai dan harga.

Paling baru, ana terdengar harga minyak USD75 satu tong. Mahal? Murah? Cukup2? Bagi ente ana tatau. Bagi ana, toksah pikir. Kalau pikir, toksah beli kenderaan. Naik unta lagi bess. Cuma yang ana nak cakap ni, bagi setiap orang harganya tetap sama. Kalau USD75 setong, semua setuju USD75 setong..Cuma nilainya berbeza bagi setiap orang..

Harga punya cerita..

Harga yang ana selalu dengar seringkali disamatakrifkan sebagai nilai. Tapi ana tengok sedikit lain. Harga itu harga. Nilai itu nilai. Harga ialah satu jumlah yang ditetapkan untuk urusan pertukaran, jika diambil dari satu sudut contohnya, pertukaran tangan pemilik untuk urusan jual-beli. Ini ana punya definisi. Ana tak pandai akaun atau ekonomi kejadah. Lantak deme lah..
Jika seorang pelacur diletakkan pada harga RM300 semalam, maka untuk pertukaran nikmatnya untuk semalam, seorang pelanggan perlu membayar pada harga tersebut. Jika sebuah panggung wayang meletakkan harga RM8 untuk sesebuah filem, maka harga untuk pertukaran pengalaman cerita itu ialah RM8 untuk sebuah filem. Jika sebuah basikal dijual pada harga RM50, maka untuk pertukaran pemilikan daripada tuan jual kepada pembeli, pembeli perlu membayar pada harga tersebut.

Maka, harga adalah tetap untuk mana2 pelanggan (tak termasuk konteks harga kroni dan saudara mara). Ini ana punya definisi harga..

Nilai punya cerita..

Baru2 ni ana ada terdengar tentang nilai. Ada akak tu cakap, dia tak pandai menilai, tapi pandangan orang tentang diri kita mungkin betul. Hah, bab pandangan tu nilai. Ini ana punya definisi. Ana tak pandai sosiologi dan antropologi kejadah. Lantak deme lah..
Nilai ini adalah satu tag yang digantung oleh seseorang kepada sesuatu, atau pun seseorang yang lain. Jika si A ini ialah seorang yang menepati janji, maka orang akan cakap si A ni seseorang yang menepati janji dan secara tak langsung tag "menepati janji" itu sudah diletakkan pada si A. Itulah nilainya. Si B pula, seorang yang suka bercakap bohong, maka orang akan cakap si B ni suka berbohong dan secara tak langsung salah satu nilai si B ialah suka bercakap bohong. Sebiji berlian itu amat bernilai untuk sesebuah perkahwinan, tetapi langsung tiada nilai untuk pesakit kronik di hospital bahagia, walaupun dalam kedua-dua keadaan harga berlian itu tetap sama. Sebaris ayat pada bid document sangat bernilai kepada seorang process engineer tetapi hanya tulisan-tulisan rumi biasa kepada seorang makcik cleaner, walaupun harga bidding itu tetap sama.

Maka, nilai adalah berbeza untuk mana2 orang (termasuk konteks nilai kroni atau saudara mara). Ini ana punya definisi nilai..

Nanti ana akan cuba kaitkan harga dan nilai mengikut situasi yang ana contohkan tadi. Ana mintak2 adalah nilai dalam pandangan ini, bukan sekadar tulisan sahaja…. Harganya sama, sebuah blog free, tapi nilainya mungkin berbeza bergantung kepada ente lah juga, si pembaca… :)

Yang Dibawah Tetek Yang Didalam Kepala

Niat asal blog ini memang seperti tag line blog di atas.

But since I already have some materials in keep, why not archive it here?
Jadi blog ini juga boleh jadi kerana sebab-sebab di bawah.

Kerana ini saya menulis.

Bukan kerana hendakkan kolum di akhbar utama, bukan kerana hendak menggantikan astro jebat, tetapi salah satunya kerana ini.

Pesan orang yang hebat, "keluarkan isi akalmu, bukan isi perutmu".

Hanya inilah salah satu kupasan pada pandangan dhaif saya ke atas pesan hebat di atas, dalam konteks perkongsian pandangan.
(Boleh lagi dikupas dalam konteks perlaksanaan kehidupan seharian, keperibadian, tingkah-laku, ibadat, dsb. Dalam konteks ini saya menyentuh maksud "keluarkan" itu sebagai satu perkongsian, selain konteks lain contohnya menunjukkan, mengamalkan, dsb.)

"Antara isi akal dan isi perut".

Isi bermaksud sesuatu yang ada, yang bermakna, bukan kosong. Contohnya dalam karangan bahasa melayu, markah diberi ke atas isi karangan, bukan ayat panjang berjela-jela tetapi kosong tanpa isi. Diam-diam ubi berisi, maksudnya ada sesuatu di bawah lapisan kulit ubi itu iaitu isi ubi berbanding tin kosong, yang tiada apa-apa di sebalik bekas aluminium. Udara atau angin dalam konteks ini dikira kosong. Jadi isi ini sesuatu yang ada dan boleh dijadikan pengisian bagi sesuatu. Kalau padi isinya beras, maka beras yang menjadi nasi boleh menjadi pengisian kepada perut yang kosong.

Akal pula boleh ditakrif sebagai ilmu. Apabila dikatakan seseorang itu berakal, maka bolehlah dikatakan seseorang itu berilmu dan berpandangan yang mana membawa maksud boleh berfikir. Tak berakal maknanya tak boleh berfikir. Seringkali kita dengar haiwan tidak berakal kerana amat berbeza akal dengan otak. Ada pula panjang akal, ada pula pendek akal. Apabila dikatakan mengakal, maksudnya menghelah, yang mana perlu kepada ilmu dan strategi. Apabila diakalkan (dihelah) maka sudah pasti yang mengakal itu mempunyai ilmu atau strategi yang lebih daripada yang diakalkan. Maka bolehlah dikatakan akal sebagai ilmu.

Perut pula membawa satu makna yang terus. Tempat makanan dihadamkan, disimpan sebelum dikeluarkan, tempat zat-zat dicerna, dan sebagainya. Apabila dikatakan isi perut, maka kita tahu ianya ialah sesuatu yang ada, apa2 yang terhadam, tercerna atau tersimpan di dalam perut. Jika tiada isi perut, maka dipanggil perut kosong. Udara atau angin dalam konteks ini dikira kosong. Isi perut juga ialah sesuatu yang busuk dan buruk. Apa-apa yang keluar dari perut semuanya tidak disukai, contohnya, tahi, kencing, muntah dan sebagainya. Jadi seboleh-bolehnya janganlah kita mengeluarkan isi perut sewenang-wenangnya tetapi di tempat-tempat yang sesuai.

Maka, secara perumpamaannya, mengeluarkan isi akal bukannya isi perut bermaksud mengeluarkan sesuatu yang bernas (ilmu) dan boleh dijadikan pengisian, bukannya sesuatu yang dikeji dan dibenci apatah lagi tidak berguna (dalam konteks perkongsian pandangan).
Namun, sesuatu pandangan tidak semestinya sesuai dengan semua. Pokoknya isi akal ialah sesuatu yang boleh membawa pengisian. Isi akal (ilmu) amat berlainan dengan isi otak yang tidak boleh dijadikan pengisian (kecuali untuk habuan perut-contoh, otak udang) dan amat bertentangan dengan isi perut.

Namun, penerimaan terhadap isi akal tersebut bergantung kepada yang mendengar/membaca. Kadang-kadang isi akal itu sesuatu yang boleh diambil untuk pengisian tetapi menjadi kosong dan tidak berguna. Contohnya apabila berkata-kata tentang isi akal kepada tembok, atau kepada seekor kucing. Yang mana apabila dikatakan isi akal, pengisiannya juga untuk yang berakal (berilmu) bukan sekadar berotak sahaja.

Bukankah mereka yang tidak rugi itu berpesan-pesan kepada kebenaran dalam kesabaran? Sesungguhnya sumpahNya ke atas masa itu adalah benar.

Kerana itu saya menulis.

Kata Ramlee Sarip, "Aku menulis, bukan kerna nama.."

Asal Boleh Jadi

Buaya. Yang sering dikaitkan dengan jahat. Hidung belang. Rakus. Ganas. Pemangsa. Pengotor.

Putih. Yang sering dikaitkan dengan baik. Jujur. Bersih. Suci. Murni. Terang.

Tetapi kepada keduanya kena ada. Kerana memang tidak sanggup untuk menjadi buaya sahaja dan bukan untuk menjadi putih sahaja. Saling perlu memerlukan dan bukan sifatnya berdiri dengan sendiri. Bagai objek yang perlukan cahaya, kerana tanpa cahaya tiadalah pantulan, maka tiadalah imej, maka tiadalah objek.

Tetapi jika keduanya ada, tiadalah nampak akan duanya tetapi satu sahaja dalam satu ketika. Buayaputih.