Tuesday, 25 September 2007

Riwayat Hewan Terpelihara


Adapun si polan bin si polan ada meriwayatkan yang babi itu hewan terpelihara. Sebab dikatakan terpelihara mengambil contoh barang yang istimewa bukan untuk umum tetapi hanya untuk sebilangan sahaja contohnya barangan pusaka yang berharga. Barangan berharga jua barangan terpelihara dan sangat terjaga. Mengambil contoh keris pusaka itu bukan hak semua, tetapi sementelah tiadanya pisau memotong sayur dalam keadaan tertentu ada jua gunanya.

Terpelihara hewan ini daripada manusia itu berbagai antaranya tidak boleh dipegang dengan suka melainkan atas sebab musabab tertentu, namun bagi manusia itu perlu untuk disucikan sebelum menghadap yang maha Esa. Adakah disucikan kerana kotor, atau manusia itu terlalu kotor untuk sesuatu yang terpelihara perlulah diperhalusi. Mungkin manusia ini kurnianya akal untuk menggubah sesuatu apa yang boleh disentuh capai. Sesuatu yang terpelihara kekal terpelihara melainkan digubah dari keadaan asal.

Daging hewan ini juga bukanlah untuk santapan manusia sesuka hati melainkan atas sebab musabab tertentu. Lanjut hingga ke akhir napas jika tiadalah pilihan barulah dibenarkan manusia itu memakan sekadar untuk bernapas bukan sehingga menikmati. Namun tiadalah perlu kepada manusia untuk bersuci yang di dalam melainkan yang terzahir. Adakah kerana dagingnya kotor, atau manusia itu terlalu kotor untuk sesuatu yang terpelihara perlulah diperhalusi. Mengambil contoh memakan harta curian (hak yang terpelihara) kelak menjadi darah daging yang tiada keberkatan.

Kurniaan kepada hewan ini juga beranak yang banyak. Jika tiada boleh dimakan, dijadikan juga ramai manusia yang engkar untuk mengawal bilangannya yang bertambah. Jikalau semua manusia itu tiadanya yang engkar maka tiadalah kawalan kepada bilangannya melainkan mengharap kepada dubuk dan singa yang bukan seimbang bilangannya. Adapun manusia yang engkar ini jika ingin akan ia memakan hewan ini adalah secara khusus walaupun punyanya banyak pilihan bukan seperti dubuk dan singa yang tiada khusus dalam pemakanan dan banyak pula pilihan.

Kurniaan kepada hewan ini juga tiadalah ia akan leher yang nyata dan memelihara daripada pemakanan yang bersembelihan biasa. Juga kurnianya mempunyai ulat yang menjaga di dalam darah juga memelihara daripada pemakanan hewan berdarah yang biasa.

Adapun jika terpelihara atau tidak hewan ini menjadi bahan jijikan sebilangan manusia. Mungkin kerana tiadalah akal untuk ia menjijikkan manusia atau manusia itu yang terlalu berakal untuk menjijikkan ciptaan yang lain perlulah diperhalusi. Sifatnya yang yang tunduk juga tidak menjadi ikutan manusia yang umumnya selalu berkepentingan kepada keperluan sendiri yang semakin menjadikan manusia jauh daripada berkepentingan kepada keperluan merdeka.

Sementelah begitu tiadalah akan hewan ini untuk bertanding dengan manusia. Tiadalah bertanding itu untuk hewan ini dengan manusia ada berbagai. Antara yang terutama seperti tiadalah hewan ini berupaya untuk hasad dengki sesama sendiri seperti kebiasaan manusia. Juga tiadalah pun hewan ini berkehendak untuk membunuh sesama sendiri seperti manusia. Walaupun rupanya hewan ini bukanlah seindah kejadian tetapi tindakannya lurus dengan kemahuan. Begitulah juga tiada ia untuk dibandingkan dengan manusia yang bermuka indah tetapi tiada lurus dan tulus dalam perbuatan.

Mungkin manusia yang begitu diberanakkan manusia melainkan untuk dibesar menjadi hewan. Manusia yang begitu bukanlah jenis yang terpelihara malah telanjang dan umum. Mengapa tidak diberanakkan manusia itu hewan jika besar menjadi hewan perlulah diperhalusi.

Manusia juga boleh menjadi sesuatu yang terpelihara. Terpelihara manusia itu daripada bermacam-macam bukan sahaja daripada gangguan manusia tetapi juga dari gangguan hewan dan godaan setan. Memang bukan tandingannya hewan babi yang hanya terpelihara daripada manusia tetapi manusia yang dipelihara itu terpelihara daripada yang berbagai malahan terpelihara daripada godaan nafsu sendiri.

Adapun sebaik-sebaik kejadian itu bukan lain ialah insan.


"Sekadar riwayat peribadi bukanlah untuk rujukan atau pegangan yang hakiki"



Monday, 3 September 2007

Bulan Kemerdekaan Sudah Berlalu


Salam merdeka.


Saya ingin menyentuh tentang budi dan bahasa, tetapi sebelum itu, kita tengok dahulu tentang Bahasa Jiwa Bangsa. Apabila memperkatakan tentang jiwa, maka seringkali dikaitkan dengan raga (tempat letak). Jangan tanya di mana jiwa, kerana jawapannya tiada di sini. Tetapi jika "olahraga" bermaksud sukan, maka "raga" di sini bermaksud badan (tubuh) kerana pergerakan sukan ialah pergerakan bukan fitrah yang mengolah pergerakan fitrah tubuh badan (olah-badan). Maka dalam konteks Bahasa Jiwa Bangsa, bangsa menjadi "raga" kepada bahasa yang dipertutur atau ditunjukkan.


Orang berbudi, kita berbahasa.


Di sini ganding bagi berbudi ialah berbahasa dalam ertikata berbahasa itu perilaku yang beradab atau bersopan. Sopan selalu datang dengan santun, kerana sopan tanpa santun juga tidak kena pada tempatnya. Contohnya sopan ketika makan itu perlu, tetapi sopan ketika makan kerana hendak menunjuk itu tidak perlu. Begitu juga sopan ketika bermain bola, tetapi tidak perlu bersopan santun ketika menjaringkan gol. Kerana itulah pada tempat dan ketika tertentu ianya "Bismillah, Allahuakbar!", kurang tepat jika "Bismillahirrahmaanirrahim, Allahuakbar!".


Gerak laku juga menjadi bahasa kepada adab dan kesopanan. Contohnya, senyum. Ini kerana bahasa juga membawa maksud medium perantaraan antara dua sumber dalam penyampaian sesuatu maklumat. Satu istilah barat "body language" juga terkandung dalam definisi bahasa ini. Maka, apa yang digayakan, "attributes" kita itu juga membawa maksud bahasa, perantaraan antara kita dengan yang lain. Jika sedih, bahasanya muram, jika gembira, bahasanya ceria, begitulah contohnya.


Lantas, boleh dikatakan salah satu takrif bahasa di sini ialah adab atau pun perilaku seseorang. Maka setiap orang mempunyai bahasa tersendiri. Dalam konteks bangsa, setiap bangsa mempunyai bahasa tersendiri. Maka bahasa menjadi jiwa kepada bangsa.

Rata-rata banyak memperkatakan tentang bangsa Arab yang kasar, sombong, dan bangga diri (walaupun tidak semua). Ini kerana kebanyakan mereka memperlihatkan perilaku sebegitu lantas menjadi "bahasa" kepada bangsa mereka sendiri. Bahasa ini seterusnya menjadi jiwa kepada bangsa mereka. Bangsa Jepun pula dilihat sebagai berdisiplin, patuh, dan bersopan-santun. Memang itu bahasa mereka yang merubah menjadi salah satu yang termaju didunia. Tetapi jangan kita lupa, bila masuk bab bersengketa, bangsa Jepun boleh jadi sekejam-kejamnya.


Lain pula bangsa melayu. Bersopan-santun lemah lembut segala. Tetapi sayangnya melayu ini mudah lupa. Buruk sangka, hasad dengki, tamak haloba, malas dan segala bala pun boleh menjadi bahasa. Cuma terpulang kepada melayu itu sendiri bagaimana hendak berbahasa. Namun selalunya, setiap kali melayu ni berbahasa, seboleh-boleh hati orang nak dijaga. Kalau tak, takkanlah kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.


Kalau dah dilahirkan melayu, mana mungkin berubah menjadi Mat Salleh. Warnakanlah rambut sekuning-kuningnya, tetap dipanggil melayu. Yang menghairankan sekarang, ramai melayu yang hendak bertukar menjadi Mat Salleh dek kerana sebab-sebab tertentu. Tak salah jika tidak keterlaluan dan sesuai dengan keadaan, tetapi di sini juga datangnya bahasa (adab). Kadang-kadang ada yang terlupa berbahasa ketika hendak menjadi Mat Salleh, akibatnya bukan Mat Salleh yang cacat jiwanya, tetapi bangsa sendiri yang terkena. Ini bukan cerita lembu punya susu, sapi dapat nama. Tapi ini cerita pelanduk teringin nak jadi rusa. Bukankah pelanduk itu lebih cerdik, kalau tahu menggunakan kecerdikannya dan lebih baik dari rusa yang harapkan besar dan tinggi, tanduk tersangkut tergadai nyawa?


Apa pun tepuk dada tanya selera. Semoga menjadi rakyat yang berbudi disulam dengan bahasa. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan (dari segi perlembagaan).